
AS-SALIHIN
Warisan Perniagaan
Merancang Warisan Perniagaan Adalah Penting Untuk Kesinambungan Perniagaan

Ramai yang sedia maklum bahawa Hibah merupakan suatu instrumen atau kaedah dalam merancang harta pusaka. Hibah boleh digunakan sebagai pemberian kepada waris atau orang yang disayangi selepas berlaku kematian.
​
Namun demikian, pemahaman berkenaan konsep Hibah yang rendah menyebabkan masih ramai yang keliru dalam mengaplikasikan Hibah sebagai instrumen perancangan harta pusaka.
​
Wujud salah faham dalam masyarakat Malaysia berkenaan dengan Wasiat dan Hibah. Hibah adalah suatu pemberian atau hadiah yang diberikan kepada penerima secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada Penerima Hibah. Berbeza dengan penulisan Wasiat yang mana akan dilaksanakan setelah Pewasiat meninggal dunia, Hibah dilakukan dan dilaksanakan sewaktu Pemberi Hibah masih hidup.
​
Hibah adalah suatu amalan sunat yang amat digalakkan dalam Islam. Pensyariatan Hibah dapat dilihat berdasarkan firman Allah S.W.T dalam ayat 4 Surah al-Nisa’ yang bermaksud “…dan mendermanya seseorang akan hartanya – sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta-minta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi…”. Kepentingan Hibah juga telah ditekankan melalui hadith Rasulullah S.A.W di mana dari A’ishah r.a., baginda bersabda bahawa “Berilah hibah di antara kamu, kerana hibah membawa pergi dendam.” [Dipetik daripada Riwayat al-Bukhari]
Bagi memastikan sesuatu Hibah sah dan boleh dilaksanakan, rukun dan syarat-syarat Hibah mesti dipatuhi.
​
Rukun yang pertama adalah Pemberi Hibah (al-Wahib) yang seseorang yang sempurna akal, baligh dan merupakan tuan punya kepada harta yang ingin dihibahkan tersebut. Rukun yang kedua adalah Penerima Hibah (al-Mawhub lahu) yang mempunyai keupayaan untuk menerima harta Hibah tersebut. Rukun yang ketiga adalah barang atau harta yang ingin dihibahkan tersebut (al-Mawhub) yang mana, antara lainnya, harus merupakan harta yang halal, mempunyai nilai dan milik Pemberi Hibah. Rukun yang keempat dan yang terakhir adalah Ijab (Pemberian) dan Qabul (Penerimaan) yang harus ditetapkan.
​
Undang-undang berkenaan dengan Hibah tidak dinyatakan secara jelas dalam undang-undang Malaysia yang dikanunkan. Namun, peruntukkan mengenai Pemberian atau Hibah disenaraikan di bawah bidang kuasa undang-undang negeri dan Mahkamah Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Peruntukkan lanjut berkenaan dengan Hibah juga dapat dilihat dalam enakmen-enakmen serta kes-kes Hibah yang dibicarakan di mahkamah-mahkamah Syariah. Ini telah menetapkan dan menyelaraskan penggunaan serta perlaksanaan Hibah di Malaysia.
​
Selaras dengan peruntukkan undang-undang Syariah dan negara, as-Salihin Trustee Berhad menawarkan penulisan dokumen Pri-Hibah, yang mana menggunapakai prinsip Hibah Amanah seperti yang disyorkan oleh Lembaga Penasihat Syariah as-Salihin Trustee Berhad. Ini adalah dimana Pemberi Hibah mengisytiharkan akan memberikan harta yang dihibahkan tersebut kepada Benefisiari dan melantik Pemegang Amanah melalui suatu Deklarasi Hibah. Pemberi Hibah memberi kuasa kepada Pemegang Amanah untuk melaksanakan pindah milik dan pengagihan harta tersebut sejurus berlakunya apa-apa situasi yang dinyatakan di dalam Deklarasi Hibah seperti kematian atau kecacatan kekal (Total Permanent Disability).
​
Dengan cara ini, Pri-Hibah di as-Salihin hanya akan memindahmilik harta tersebut selepas berlakunya situasi yang dinyatakan. Sebagai contoh, tanah yang diberikan melalui Pri-Hibah hanya akan ditukar nama selepas kematian Pemberi Hibah. Pindahmilik dapat dilaksanakan serta merta sejurus berlakunya situasi yang dinyatakan tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka seperti permohonan Geran Probet atau Surat Kuasa Mentadbir.
​
Pemberian harta melalui Pri-Hibah tidak akan tertakluk kepada Hukum Faraid kerana harta tersebut akan dianggap telah terkeluar daripada harta pusaka Pemberi Hibah. Oleh yang demikian, Pemberi Hibah mempunyai alternatif untuk memberikan harta -harta tertentu dengan kadar yang diinginkan kepada waris-waris serta insan tersayang.
​
Tuntasnya, penulisan Pri-Hibah di as-Salihin Trustee Berhad menjadi suatu komponen alternatif dalam memastikan suatu perancangan harta pusaka yang komprehensif dan menuruti kehendak pelanggan di samping menuruti prinsip undang-undang Syariah serta undang-undang sivil di Malaysia.