top of page

AS-SALIHIN

Kepentingan Hibah

Hibah Dalam Meneruskan Legasi Perniagaan

hibah p.PNG

Perniagaan merupakan suatu aset yang amat bernilai dan memerlukan masa, komitmen dan kos yang tinggi untuk dibangunkan sehingga menjadi suatu syarikat dan empayar perniagaan yang utuh. Oleh yang demikian, semua pemilik perniagaan sudah tentu mengharapkan perniagaan mereka akan lebih maju dan berjaya, walaupun sesudah ketiadaan mereka.

​

Kelangsungan perniagaan bukan hanya terletak kepada jumlah keuntungan syarikat tetapi juga kepada kesinambungan operasi perniagaan. Masalah kesinambungan ini sering timbul apabila pemilik perniagaan tersebut meninggal dunia. Ini kerana apabila pemilik meninggal dunia, pegangan saham di dalam syarikat serta aset perniagaan milikan tunggal akan terbeku sehinggalah proses pindah milik boleh dilakukan kepada waris yang berhak. Proses tersebut akan memakan masa kerana perlu melalui proses undang-undang dan sepanjang tempoh tersebut, operasi perniagaan boleh menjadi terganggu atau terhenti.

​

Kebiasaannya, harapan diletakkan ke atas ahli keluarga untuk meneruskan legasi serta mengekalkan kelangsungan perniagaan. Namun demikian, tanpa perancangan perwarisan yang lengkap, empayar perniagaan yang dibina dengan titik peluh sendiri boleh runtuh dalam sekelip mata selepas kematian pemilik perniagaan tersebut. Ahli keluarga juga mungkin tidak dapat memperolehi dan menikmati hasil keuntungan daripada perniagaan yang ditinggalkan.

Dalam konteks ini, as-Salihin Trustee Berhad menyediakan instrumen perancangan perwarisan perniagaan iaitu melalui Hibah Perniagaan. Melalui Hibah Perniagaan, pemilik perniagaan dapat memastikan kelangsungan dan kesinambungan perniagaannya, dimana hak pemilikannya dalam perniagaan tersebut dapat diberikan kepada waris atau benefisiari yang dikehendaki dengan kadar segera.

Hibah Perniagaan melalui dokumen Pri-Hibah di as-Salihin Trustee Berhad merupakan satu dokumen pengisytiharan pemberian perniagaan daripada Pemberi Hibah kepada Penerima Hibah semasa hidup. Pindah milik perniagaan akan dilakukan setelah berlakunya situasi tertentu yang dinyatakan seperti kematian atau kecacatan kekal (Total Permanent Disability).

​

Melalui Pri-Hibah, pindahmilik perniagaan boleh dilakukan segera tanpa perlu melalui proses permohonan Surat Kuasa Mentadbir di mahkamah sivil dan Sijil Faraid di mahkamah Syariah. Kelebihan ini akan membolehkan perniagaan dan syarikat dapat terus beroperasi serta merta walaupun pemilik perniagaan telah meninggal dunia.

Pemindahan pemilikan perniagaan melalui Hibah Perniagaan boleh dilakukan tanpa tertakluk kepada Hukum Faraid. Pemilik perniagaan tersebut boleh menetapkan bahagian yang ingin diberikan dan siapa penerimanya. Dalam konteks ini, pemilik perniagaan tersebut boleh memberikan milikan perniagaannya kepada penerima yang diingini, dan ini secara tidak langsung memastikan bahawa pelapis pengurusan perniagaannya adalah orang yang layak dan berkemampuan untuk menerajui perniagaan kelak.

​

Kesimpulannya, Hibah Perniagaan dapat memastikan perniagaan yang diusahakan dapat diteruskan dengan lancar dan segera oleh waris yang sesuai.

Artikel ini disediakan oleh Hariz Sufi bin Zahari, Pegawai Latihan di as-Salihin Trustee Berhad

bottom of page